Wednesday, November 4, 2009

Presiden MCA pecat 4 ahli CC

bhnews@bhrian.com.my


EMPAT Jawatankuasa Pusat yang menerima surat pemecatan (dari kiri) Chai, Chor, Yow dan Gan.

Surat pemecatan diterima beberapa jam sebelum mesyuarat mula

KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam memecat empat ahli Jawatankuasa Pusat (CC) parti yang dilantiknya tahun lalu, berkuat kuasa serta- merta.

Mereka ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung; Setiausaha Penganjur Kebangsaan MCA, Yoo Wei Hou; Datuk Chai Kim Sen dan Gan Hong Su.


Mereka digantikan dengan tiga anggota CC yang baru iaitu Datuk Donald Lim, Chua Tee Yong dan Datuk Tan Chin Meng.


Mereka menerima surat pemecatan pada jam 10.30 pagi sebelum dapat menghadiri mesyuarat CC di ibu pejabat parti di sini, semalam.

Chor dalam sidang akhbar bersama tiga bekas ahli CC itu berkata,
tiada alasan diberikan Ong dalam surat pemecatan yang diterima mereka beberapa jam sebelum mesyuarat jawatankuasa bermula.

Beliau yang terperanjat dengan keputusan itu berkata, pemecatan mungkin dibuat kerana mereka tidak bersetuju dengan pelan perpaduan Ong sebaliknya mahu supaya pemilihan baru dilakukan untuk mengatasi kemelut dalaman MCA.

Walaupun setuju Ong mempunyai kuasa untuk memecat mereka, katanya, keputusan itu boleh disifatkan sebagai tindakan terdesak Presiden untuk terus menerajui MCA.

Katanya, tindakan Ong itu akan menjadikan MCA bahan cemuhan.

"Mungkin dengan membuat keputusan ini (pemecatan), beliau (Ong) mahu menjaga kedudukannya. Beliau (Ong) menyatakan mengenai pelan perpaduan tetapi beliau sendiri tidak mahu perpaduan dalam parti," katanya.

Ong dalam sidang media selepas mesyuarat CC bagaimanapun menafikan beliau memecat empat ahli CC itu sebaliknya hanya pertukaran biasa untuk mengukuhkan CC.

"Saya dan CC bersetuju bahawa pelantikan ketika itu (tahun lalu) akan dikaji setahun kemudian dan kebetulan bila kajian diperlukan didapati bahawa beberapa kerusi ahli CC perlu dikaji semula penyandangnya," katanya.

Bagaimanapun, seorang ahli CC yang mencadangkan EGM itu, Wong Nai Chee pada sidang media bersama Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan berbincang dengan ketua biro perundangan mengenai perkara itu.

Beliau sekali lagi menegaskan kemelut dalam MCA itu hanya boleh diselesaikan dengan pemilihan baru pucuk pimpinan oleh perwakilan pusat.


P/S :- Boleh selesai ke macam ni?Nampak macam tak boleh je!Macam2 cakap dah keluar ni.Kata Pengerusi BN dah bagi nasihat(amaran),tapi kuasa Pengerusi BN tak kuat mana pun.Macam tak jalan pun nasihat dia ni!

No comments: