Friday, November 13, 2009

Kes Linggam: Jawapan Nazri, berkepentingan dan tidak masuk akal

Kenyataan Media

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menganggap jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen semalam berhubung kes Datuk VK Linggam yang pada beliau tidak melanggar sebarang undang-undang sebagai satu jawapan yang tidak masuk akal dan membuktikan bahawa sistem penguatkuasaan serta keadilan dinegara ini bermasalah.

Nazri bersetuju bahawa yang bercakap (dalam klip video) itu sebenarnya Lingam. Walaubagaimanapun beliau mengandaikan bahawa Linggam hanya berlagak dan sengaja menunjuk kuasa pengaruh.

Jawapan ini langsung tidak boleh diterima kerana semasa inkuiri yang dibuat oleh Suruhanjaya DiRaja Linggam menyatakan bahawa rakaman Video klip tersebut menunjukan orang yang dianggapnya sebagai serupa dengannya, suaranya juga sama tapi itu bukanlah dirinya.

Jadi disana ada dua fakta yang berbeza berhubung identiti Linggam yang perlu dibuktikan kesahihannya dimahkamah.

Selain itu, PAS juga melihat bahawa saranan Suruhanjaya DiRaja supaya siasatan terhadap individu lain yang berkaitan dengan kes ini dibuat seolah-olah telah diabaikan kerana tiada laporan rasmi dibuat melainkan jawapan Nazri yang penuh andaian dan persepsi sahaja.

Oleh itu PAS sekali lagi mengingatkan intipati hasil siasatan Suruhajaya DiRaja yang mahu supaya mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi, disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim. Lima yang lainnya ialah bekas ketua hakim negara – Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin – peguam kanan Datuk VK Lingam; bekas menteri di jabatan perdana menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan. Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat di bawa Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Jawapan Nazri juga seolah-lah menafikan kewujudan Kod Etika Kehakiman 1964, Peruntukan 3 (d), yang mengatakan bahawa perbuatan melobi oleh seseorang hakim boleh mencemarkan nama baik Badan Kehakiman. Seseorang hakim tidak boleh berkelakuan tidak jujur sehingga mencemar nama Badan Kehakiman.

Justeru itu, jawapan Nazri terlalu longgar untuk membebaskan Linggam begitu sahaja dan kes ini sewajarnya disiasat dengan teliti kerana jawapan yang diberikan dalam parlimen boleh dianggap menolak 100 peratus hasil keputusan Suruhanjaya DiRaja yang melihat bahawa terdapat kes yang perlu disiasat dan didakwa dalam Klip Video Linggam ini.

PAS yakin lebih ramai pihak, organisasi poltik, NGO dan orang awam yang akan turut mempertikaikan kelemahan jawapan Nazri ini. Sesungguhnya keadilan akan tertegak walaupun jutaan penafian dilontarkan bagi menutup bangkai gajah yang sudah lama membusuk didalam Institusi Kehakiman Negara.

Jelaslah bahawa jawapan Nazri itu mempunyai agenda tertentu yang mana semua yang terlibat dalam kes berkenaan mempunyai hubung kait dengan pemimpin Umno termasuklah Setiausaha Agungnya sekarang iaitu Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kita sudah lali dengan taktik Umno yang menganggap perasuah sebagai dewa dan kebal dari undang-undang, malah ada yang dilantik jadi Menteri Besar dan wakil rakyat demi mempertahankan kedayusan Umno dalam memperhinakan undang-undang negara.

Maka PAS sekali lagi mendesak agar kes ini disiasat dan segera dibawa ke mahkamah. Laporan penghakimannya hendaklah diwartakan dalam media bagi memberikan jawapan pada rakyat. Inilah peluangnya jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah dan Polis untuk membaiki imej mereka begitu juga dengan institusi Keadilan Negara yang jauh dari kepercayaan rakyat.

Ust Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat

No comments: