Tuesday, November 3, 2009

Dr. Asri dilepas


Dr. Mohd Asri Zainul Abidin bersama barisan peguam yang mewakili beliau hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Ulu Klang, semalam. Bagaimanapun tiada pertuduhan dikemukakan terhadap Mohd. Asri.


KUALA LUMPUR 2 Nov. – ‘‘Ini merupakan satu penantian yang sia-sia.’’ Itu adalah reaksi bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin selepas beliau menunggu lebih tiga jam di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Bukan setakat dibiar umpama menunggu buah yang tidak gugur, beliau juga tidak dimaklumkan tujuan sebenar diminta hadir ke mahkamah pada pagi ini.

‘‘Saya pun tak tahu. Mengikut bon jaminan yang dikeluarkan awal pagi tadi, saya diminta untuk berada di mahkamah ini pukul 9 pagi. Untuk apa tak tahu, beri keterangan ke atau nak dakwa ke, saya betul-betul tak tahu.

‘‘Malah saya juga ingin betulkan bahawa malam tadi saya juga tidak disoal siasat oleh mana-mana pihak berkuasa sebaliknya hanya diminta untuk memberikan beberapa butiran peribadi,’’ katanya yang menunggu di mahkamah sejak pukul 8.45 pagi.

Menurut laporan akhbar hari ini, Mohd. Asri ditahan ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang malam tadi.

Turut berada di ceramah tersebut ialah Ahli Parlimen Ampang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang, Saari Sungib.

Pada pagi ini, hadir memberi sokongan kepada bekas mufti itu ialah aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengarah Eksekutif Sisters in Islam (SIS), Zainah Anwar.

Ujar Zulkifli, pada ketika ini, bekas mufti berkenaan disiasat mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003 iaitu mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Mengikut seksyen berkenaan, seseorang individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Difahamkan, pihak pendakwaan tidak dapat membuat sebarang dakwaan kerana masih menunggu arahan daripada Mufti Selangor.

Selepas Mohd. Asri dibebaskan dengan jaminan tanpa cagaran, beliau menyatakan rasa kecewanya kerana telah diminta menunggu di mahkamah tanpa sebab.

Beliau juga meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana tidak ada seorang pegawai atau anggota JAIS yang bertemu dengannya atau menghubunginya untuk memberitahu perkembangan kes itu.

Mohd. Asri turut memaklumkan media bahawa beliau akan bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jen. (B) Datuk Jamil Khir Baharom di Hotel Putra sejurus selepas itu.


P/S :- Ini cerita besar.Sama macam beberapa kes yg lepas.Orang yg tahu agama dihalang menyampaikan ilmu.Kerajaan pusat kata tak terlibat,Pakatan mengutuk tangkapan ini.Sapa punya kerja ni?

No comments: