Thursday, September 18, 2008

SGM menang, Kerajaan Pahang kalah dan kena bayar RM60 juta

( SUMBER : www.sidangonline.net )

Setelah berlarutan selama hampir 8 tahun dalam mahkamah, akhirnya Kerajaan Negeri Pahang kalah kepada sebuah syarikat pembalakan apabila Mahkamah Persekutuan memerintahkannya untuk membayar RM60 juta kepada syarikat berkenaan.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum yang bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Abdul Aziz Mohamed dalam Mahkamah Persekutuan di Putrajaya pada 17 September lalu.

Ketiga-tiga hakim tersebut secara sebulat suara telah menolak permohonan kebenaran kerajaan negeri dan Pengarah Perhutanan Negeri Pahang yang dalam usaha terakhirnya yang memfailkan notis rayuan di mahkamah berkenaan bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu setelah disaman syarikat Seruan Gemilang Makmur Sdn Bhd (SGM).

Notis rayuan itu adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 yang memerintahkan mereka membayar RM37,127,471.60 kepada SGM dengan faedah pada kadar 8 peratus setahun mulai 31 Dis 2000 sehingga selesai pembayaran.

Mahkamah Tinggi memerintahkan mereka membayar jumlah itu kepada syarikat berkenaan setelah berpuas hati bahawa Pengarah Perhutanan Negeri telah bertindak secara cuai apabila enggan mengguna pakai pelan terkini yang dikemukakan oleh Seruan Gemilang yang telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) pada 5 April 2000, sebaliknya mengarahkan pelan asal yang diluluskan oleh exco pada 7 Jan 1998, diguna pakai.

SGM ialah syarikat kontraktor pembalakan yang telah menerima hak eksklusif mengeluarkan saki baki kayu balak di tanah milik Umno iaitu P.T. Lot 6959 Mukim Bebar, Pekan seluas 10,000 ekar pada tahun 2000 lalu.

Bagaimanapun, sebelum kerja-kerja pembalakan selesai Jabatan Perhutanan Pahang enggan melesenkan kepada SGM pada sebahagian tanah yang ditender sehingga menyebabkan syarikatnya mengalami kerugian.

Tindakan tersebut telah menyebabkan syarikat berkenaan tidak dapat meneruskan kerja-kerja pembalakan yang telah ditender dan akibatnya telah mendakwa mengalami kerugian besar.

Ekoran itu SGM telah mengambil tindakan mahkamah sebagai jalan terakhir setelah kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri enggan melayan tuntutan SGM untuk mendapatkan lesen bagi meneruskan kerja-kerja pembalakan.

Justeru itu Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 telah mengeluarkan suatu perintah kepada defendan (kerajaan negeri) supaya membayar ganti rugi berjumlah RM37,127,471.60 kepada SGM berserta kadar faedah 8 peratus setahun mulai Disember 2000 kepada SGM.

Defendan diberi tempoh tiga bulan untuk membuat pembayaran (kesemuanya berjumlah sekitar RM60 juta) kepada SGM namun tetap gagal.

Dalam pada itu pihak defendan ada memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Bagaimana pun penghakiman Mahkamah Rayuan bertarikh pada 13 Februari 2008 kedua-dua defendan (Kerajaan Pahang dan Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang) gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi Kuantan.

Pada 7 Mac 2008 pula, Mahkamah Tinggi Kuantan telah memperakukan sijil perintah dan amaun penghakiman terhadap kedua-dua defendan daripada Mahkamah Tinggi Kuantan (keputusan penghakiman 25 Mei 2007).

Tarikh 7 April 2008 sepatutnya adalah hari wajib bayar iaitu tarikh akhir bagi pihak defendan kepada SGM. Namun pihak defendan telah gagal membuat apa-apa bayaran ataupun menghubungi SGM. Maka secara automatik kedua-dua pihak dianggap melanggar dan menghina keputusan mahkamah.

Sementara itu Pengarah SGM, Syed Ali Badarudin Syed Osman ketika dihubungi di sini berkata, beliau gembira kerana kebenaran berpihak kepadanya setelah melalui pelbagai kesulitan selama ini.

“Kami gembira dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dan berharap kerajaan negeri tidak lagi memperlekehkan prosedur undang-undang. Sebab sepatutnya saman itu sudah dijelaskan sepenuhnya pada 7 April lalu apabila kerajaan negeri tewas dalam kes saman yang dikemukakan syarikat kami”.

"SGM kecewa kerana perintah Mahkamah Tinggi Kuantan pada 25 Mei 2007 supaya amaun saman itu dibayar kepada syarikat kami tidak dipatuhi oleh kerajaan negeri. Keengganan membuat bayaran ketika itu sudah boleh disifatkan sebagai menghina keputusan mahkamah," katanya.

Sementara itu Ketua Penerangan PAS Pahang Syed Abdul Rahman Syed Husin Salleh ketika diminta mengulas perkara berkenaan, menyelar sikap tidak bertanggungjawab Kerajaan Negeri Pahang di bawah pimpinan Datuk seri Adnan Yaakob.

Baginya kekalahan kerajaan negeri Pahang dalam kes saman oleh SGM mempamerkan bahawa pentadbiran negeri Pahang telah membelakangkan prinsip-prinsip good governance, ketelusan dan integriti sehingga kerajaan negeri terpaksa membayar lebih daripada sepatutnya.

“Bagaimanakah kerajaan negeri Pahang terpaksa membayar sebanyak RM60 juta? Wang sebanyak itu terpaksa ditanggung oleh rakyat negeri Pahang. Rakyat yang telah bertungkus lumus bekerja keras membayar cukai kemudian terpaksa pula melihat wang mereka digunakan untuk membayar saman hasil dari pentadbiran yang gagal dan tidak bertanggungjawab”.

“Adalah tidak wajar dan tidak adil bahawa rakyat terpaksa memikul beban kesalahan kerajaan negeri di samping menanggung kerugian dalam berbagai bentuk akibat pentadbiran yang tidak bertanggungjawab”.

“Bagi saya Menteri Besar mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya dalam hal ini dan rakyat harus menuntut supaya wang rakyat tidak disentuh oleh kerajaan negeri dalam melangsaikan bayaran saman ini. Tindakan menggadaikan hak rakyat oleh pemimpin negeri ini mestilah diberhentikan serta-merta bagi menyelamatkan negeri ini lebih parah dan hanya akan merugikan rakyat”, katanya.

KETERANGAN GAMBAR:
Syed Ali (kanan sekali) bersama ketika pemimpin Pakatan Rakyat Pahang membuat kenyataan media di bnagunan Wisma Sri Pahang Kuantan baru-baru ini

No comments: