Saturday, September 13, 2008

Anggota BN-BBC tinggalkan Taiwan kerana taufan, PKR berjaya 'interaksi'

MISI DI TAIWAN... Lima wakil Parti Keadilan Rakyat ketika tiba di Taiwan bagi mengadakan rundingan peringkat akhir dengan sekumpulan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang didakwa menyatakan persetujuan untuk menyertai Pakatan Rakyat petang tadi. ( Sumber : www.mstar.com.my )

PETALING JAYA: Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah meninggalkan Taiwan awal pagi tadi atas alasan bimbang dengan taufan yang dijangka melanda negara itu hari ini.


Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ketika dihubungi mStar Online berkata, kesemua Ahli Parlimen yang masih berada di Taiwan telah diarahkan keluar hari ini.
Bagaimanapun kata Tian, pihaknya sempat berinteraksi dengan ahli-ahli Parlimen tersebut malam tadi.


“Saya tidak pasti taufan apa yang dirujuk mereka. Memang taufan dijangka melanda Taiwan hari ini tapi ia juga mungkin merujuk kepada kita.
“Bagaimanapun kita sempat berinteraksi dengan mereka malam tadi tapi saya tidak boleh nak beritahu dengan lanjut,” katanya yang enggan mendedahkan bentuk komunikasi antara mereka.
Tian berkata, beliau telah diberitahu sendiri oleh Ahli Parlimen yang ditemui semalam bahawa kebanyakan mereka akan meninggalkan Taiwan melalui Hong Kong namun terdapat segelintir daripada mereka dipercayai ke China untuk membeli-belah dan bermain golf.


“Mereka dirancang supaya tidak berada di Taiwan (hari ini)... terpulang kepada interpretasi masing-masing sebab keputusan untuk bertolak lebih awal, yang dibuat mereka secara tiba-tiba ini, kerana sepatutnya mereka dijadualkan pulang pada 17 Septemberi,” katanya.


Tian berkata, melalui interaksi yang disifatkan beliau sebagai amat berjaya antara kedua-dua pihak malam tadi itu jelas menunjukkan mereka tidak puas hati dengan situasi yang berlaku pada masa ini.“Kita bincang banyak isu namun apa yang saya boleh kata, peralihan parti memang akan berlaku walaupun kerajaan baru tidak dapat dibentuk.“Selain itu, satu lagi mood yang timbul di kalangan mereka adalah ingin terus tinggal dalam BN kerana mahu menyokong (Datuk Seri) Najib Tun Razak dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin mencabar (Datuk Seri) Abdullah Ahmad Badawi (bagi jawatan Presiden Umno) pada mesyuarat perwakilan akan datang,” katanya.


Tian Chua berkata, penahanan tiga individu termasuk pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri semalam turut menimbulkan kemarahan di kalangan mereka.“Khabar yang diterima semalam memang menimbulkan sedikit ketakutan dan rasa tidak puas hati. Jadi mereka rasa ini tanda yang buruk untuk mengalihkan pandangan daripada tarikh 16 September,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh berkata, kepulangan ahli-ahli Parlimen itu menunjukkan mereka bimbang dengan kedatangan lima wakil PKR ke Taiwan.
“Ketika di sini juga, mereka dikawal ketat. Telefon bimbit mereka tidak boleh dipegang oleh orang lain tapi kita tetap dapat berkomunikasi dengan mereka.


Beliau yang juga enggan mendedahkan bentuk komunikasi antara mereka hanya memberitahu yang Pakatan Rakyat sudah mempunyai bilangan Ahli Parlimen BN yang akan menyertai mereka seperti yang diberitahu oleh Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.
“Seperti kata Datuk Seri Anwar, kita ada nombornya. Beliau (Anwar) cakap betul... tidak pernah beliau cakap tidak betul. Cuma memanglah ada halangan (untuk melaksanakannya),” katanya.


Fuziah berkata, beliau akan bertolak pulang ke Malaysia malam ini manakala yang selebihnya dijadual pulang esok.Selain Tian dan Fuziah, tiga wakil PKR yang berangkat ke Taiwan petang semalam dipercayai untuk ‘memburu’ Ahli Parlimen BN untuk melompat parti adalah Pengarah Strategi PKR, Saifuddin Nasution; Ahli Majlis Tertinggi PKR, Low Chee Chong dan Ketua Penerangan Wanita PKR, Elizabeth Wong.


Sementara itu, Pengerusi BN-BBC, Datuk Seri Tiong King Sing ketika dihubungi berkata, rombongan Ahli Parlimen meninggalkan Taiwan awal pagi tadi kerana bimbang tentang ramalan taufan yang dijangka melanda negara itu."Sebab itu kita keluar awal pagi dan penerbangan sepatutnya pada pukul 8 pagi tadi tapi saya tidak pasti sama ada mereka sudah menaiki pesawat atau pun sedang transit di Hong Kong," katanya.


Beliau berkata, empat hingga lima orang Ahli Parlimen masih tinggal di Taiwan kerana mahu bersiar-siar dan membeli-belah."Saya sendiri sekarang berada di China dan belum pulang ke Malaysia," katanya namun enggan memberitahu Ahli Parlimen yang turut mengikut beliau ke China.


Ditanya mengenai dakwaan Tian bahawa berlaku komunikasi antara pihaknya dan Ahli Parlimen malam tadi, Tiong berkata, ia merupakan satu pembohongan.Isnin lalu, rombongan seramai 49 Ahli Parlimen iaitu anggota Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BN-BBC) berangkat ke Taiwan sempena lawatan sambil belajar pertanian berteknologi tinggi.
Mereka sepatutnya pulang Rabu atau Khamis ini.


Bagaimanapun beberapa anggota kelab itu telah pulang dua hari yang lalu.

No comments: