Friday, September 5, 2008

BENARKAH ULAMA' DIPINGGIRKAN OLEH HARAKAH SELAMA INI ?

INTERBIU... siaran langsung yang dipancarkan melalui Webtv PAS sewaktu berlangsungnya Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat antara saya dan Ketua Penerangan dewan itu, Ustaz Nik Zawawi Salleh (SUMBER : www.sanggahtoksaga.blogspot.com )
MERENUNG rasa kecewa Dewan Ulama PAS Pusat terhadap lidah rasmi parti, Harakah kerana kurang memberikan peluang kepada golongan ulama menyuarakan pandangan terhadap isu-isu semasa, menggamit untuk saya menukilkan respon.

"Kita minta kepada Harakahdaily dan Harakah Cetak supaya ambil perhatian kerana banyak pandangan daripada ulama tidak disiarkan. Sekiranya Dewan Pemuda boleh beri pandangan mengenai isu berkaitan remaja, Dewan Muslimat bagi pandangan isu wanita, Dewan Ulama juga perlu diberi ruang untuk menyuarakan pandangan mengenai isu semasa," keluh Ketua Dewan Ulama, Dato' Mohamed Daud Iraqi ketika sesi penggulungan Muktamar dewan itu, di Ipoh awal bulan lalu.

Saya mengetuai team Harakah membuat liputan penuh Muktamar Dewan Ulama tersebut yang diadakan di Dewan Perbandaran Ipoh, bersebelahan Masjid Negeri. Tiga wartawan, Anis Nazri, Intan Abdullah dan Mohd Noor Yahya ditugaskan.

Memang diakui kebenaran luahan tersebut. Ruangan atau kolum dari Dewan Ulama PAS tiada langsung dalam akhbar lidah rasmi PAS itu. Tulisan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Mauizah), Tafsir Al-Quran oleh Tuan Guru Abdul Hadi Awang atau soal jawab agama oleh Dato' Dr. Harun Din, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan yang terbaru oleh Dato' Ismail Kamus, memang boleh dikatakan tidak mewakili Dewan Ulama PAS Pusat.

Malah, setelah dibangkitkan pada muktamar itu, jika diperhatikan sebaiknya, komen-komen dalam bentuk berita juga agak sukar ditemui dari tokoh dan pemimpin dari dewan tersebut. Mengapakah ini terjadi?

Sepanjang Muktamar dewan itu, sehari suntuk berlangsung, laporan berita Muktamar Dewan Ulama telah mendominasikan berita Harakahdaily. Saya meminta ketiga-tiga wartawan bertugas agar terus mengutip bahan-bahan penting dari perwakilan, ucapan penggulungan atau cerita-cerita menarik sepanjang muktamar untuk dijadikan berita.

Harakahdaily pada hari itu, 14 Ogos 2008 secara tidak langsung telah didominasikan oleh laporan Muktamar Dewan Ulama. Berbanding Muktamar Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat, yang turut bersidang pada hari yang sama.

Saya membisikkan kepada Ketua Dewan Ulama PAS Perak, Ustaz Shuib Din bahawa laporan Harakahdaily kini sarat dengan berita-berita Muktamar Dewan Ulama. Beliau tersenyum dan mengucapkan alhamdulillah, tanda berpuashati.

Terasa sungguh, suara ulama dalam konteks penulisan dan komentar mereka rupa-rupanya selama ini amat kurang diberi perhatian oleh Harakah. Namun, saya belum mengecam lagi apakah sebabnya senario begitu boleh terjadi?
Adakah kerana mereka tidak menghantar komentar semasa atau tulisan ilmiah kepada lidah rasmi parti untuk disiarkan? Atau mungkinkah wartawan Harakah tidak terusik untuk meminta pandangan mereka tentang sesuatu isu?

Atau apakah terdapat di kalangan mereka yang enggan ditemuramah, memberi kenyataan atau menulis dan mengisi kolum untuk Harakah?
Saya yakin, kekecewaan yang diutarakan itu sedang diberi perhatian serius oleh editorial. Saya sendiri menyarankan agar tokoh-tokoh ulama diinterbiu, diajak menulis, ditanya komentar mereka, agar lidah rasmi Harakah dapat dimanfaatkan bersama dan ulama boleh diperkasakan, bukan dipinggirkan!

No comments: