BANDAR JENGKA, 18 Julai (Hrkh) - Persatuan Anak-anak Peneroka Se Malaysia (Anak) menggesa kerajaan dan Felda menjamin masa depan generasi kedua Felda yang menjadi peserta Felda Plantations Bhd.
Presidennya, Mazlan Aliman berkata, majoriti peserta Felda Plantations ini adalah anak-anak peneroka Felda atau generasi ke-2 Felda dan mereka menyertai agensi di bawah Felda itu dengan harapan suatu masa nanti akan diterima menjadi peneroka sebagaimana ibu bapa mereka.
Namun, kata Mazlan apa yang diharapkan oleh generasi kedua Felda itu tidak kesampaian apabila Felda dilihat tidak berminat untuk menaik taraf status peserta Ladang Platations sebagai peneroka sebaliknya mahu terus mengekalkan mereka sebagai pekerja ladang setaraf buruh asing atau lebih buruk lagi.
Ini bermakna apabila peserta genap berusia 50 tahun, para peserta Ladang Plantations ini akan bersara dan diminta meninggalkan ladang. Pada ketika itu sudah tentu para peserta berkenaan akan menghadapi masalah besar.
"Buruh asing mereka boleh pulang ke negera masing-masing apabila kontrak tamat tetapi peserta (generasi kedua Felda) ini ke manakah mereka hendak pulang?
"Peserta Plantations ini mungkin keluar dengan sehelai sepinggang untuk meneruskan kehidupan di luar tanah rancangan," ujarnya ketika ditemui selepas majlis dialog dengan peneroka Felda Sri Pagi, Jengka 17, dekat sini.
Menurut Mazlan, keadaan itu sudah tentulah amat menyedihkan bagi mereka, sebagai anak peneroka (Generasi 2), mereka berkhidmat dengan Felda sebagai buruh dengan harapan untuk menjadi peneroka.
Ini kerana, Felda ditubuhkan untuk membela rakyat, mereka yakin Felda tidak ditubuhkan oleh pemimpin terdahulu untuk menjadikanya ladang komersil.
Sehubungan itu, Anak akan mengadakan suatu Konvensyen khusus bagi membincangkan isu Generasi Kedua Felda yang kini menjadi peserta Felda Plantations ini.
"InsyaAllah dalam masa terdekat ini Anak akan menganjurkan suatu himpunan besar-besaran membabitkan perserta Ladang Plantations ini, khusus bagi membincangkan masa depan mereka," katanya. - mns_ (Sumber Harakahdaily)
No comments:
Post a Comment